Friday, December 16, 2011

Anak-anak semalam dan hari ini

Bila tiba cuti sekolah, saya sekali lagi menjadi bingung. Pening memikirkan perancangan untuk memenuhi masa lapang anak-anak yang bercuti lebih dari sebulan. Apakah aktiviti yang menarik dan membina minda serta memberi exposure serta pengalaman menarik untuk mereka.

Pada awalnya saya menempah percutian ke pantai timur, tapi dek kerana musim tengkujuh dan cuaca yang tidak menentu, percutian terpaksa dibatalkan. Nak bawa jalan ke luar negara, kali ini mungkin tidak kerana selain dari faktor poket bocor, saya juga sebenarnya sedang melalui proses healing and recovery dari kejutan maha dasyat dalam hidup.. iaitu diberhentikan kerja! jadi di minda terlalu banyak yang bersarang.. terutama tentang komitmen kewangan dan segala perbelanjaan yang harus lebih hemah di masa depan..



Saya cuba menempatkan anak-anak dara saya di rumah ibu, niatnya.. concentrate belajar mengaji.. tapi sejak kebelakangan kesihatan ibu sering terganggu dek serangan asma dan letihnya ke kebun. Ibu kerap demam dan batuk, kesian pula bila nanti ibu terpaksa gagahkan diri untuk bangun masak dan mengajar mereka mengaji. Sudahnya, baru seminggu anak-anak di rumah ibu mereka kembali semula ke rumah.

Maka tiap-tiap selang tiga hari saya meminjamkan anak-anak buku di perpustakaan kanak2 DBKL.. sebab Alisya anak sulong saya sangat suka membaca.. Bila malam saya cuba membacakan buku cerita untuk mereka.. dan saya disuruh bercerita tentang zaman kanak-kanak kepada mereka... dan mulalah zaman itu mengetuk kembali ingatan.. zaman yang penuh manis dan pahit..

Kata saya kepada anak-anak.. dulu zaman mama tidak semewah anak-anak mama, kami tiada komputer, ipad atau iphone untuk dilambung-lambung dan dibuat main.. tapi saya harus akur, jika itu adalah tuntuan masa kini.. saya akan cuba sediakan jika mampu. Saya tidak mahu mereka rasa terasing dan terpinggir seperti yang saya lalui di zaman kanak-kanak...ya saya maklum, pendapatan ayah dan ibu tidak sehebat kawan-kawan sekelas yang pergi dan pulang ke sekolah dengan menaiki kereta mewah. Dan kerana itulah saya berazam mengubah kehidupan saya dan cucu-cucu ayah dan ibu..

Ayah sangat garang dan tegas orangnya.. seingat saya.. tangan ayah tak pernah lekang dari rotan bulu ayam. Kadang-kadang jika ayah terlalu marah, getah paip, batang ubi, hanger baju atau tali pinggang singgah ke punggong dan betis kami adik beradik.. mana yang sempat ayah capai!

Saya benci melihat bulu ayam yang tergantung di daun pintu bilik ayah! batang bulu ayam itu kembang dan hampir terlerai dari bulu nya dek kerana selalu mensesah betis saya. Nakal sangatkah saya???
saya selalu memasang niat untuk membuang saja bulu ayam itu, atau paling tidak sorokkan saja di bawah katil.. tapi jika ayah tanya kemana? apa harus saya jawab??
Oh... atau haruskan saya membalut batang itu dengan sesuatu supaya kurang sikit sakitnya bila menghinggap kulit kaki?? tapi saya ni jiwa dan berhati keras... tak mudah menangis bila di sebat... sebabnya.. saya masih ada idea yang pelik-pelik lagi untuk bergembira...

Apa kesalahan saya?? saya sebenarnya suka bermain dalam longkang besar depan sekolah rendah yang tak jauh dari rumah.. saya akan menyusuri longkang itu dengan berjalan di dalamnya sehingga ke takungan utama! kadang-kadang saya ambik sauk ikan ayah dan cuba menangkap berudu.. kadang2 saya kutip daun paku pakis dan tekapkan ke seluruh tangan dan muka adik! saya juga selalu mencuri masuk ke hutan simpan belakang taman menuju ke dam/empangan melawati... Oh Tuhan.. kalau anak-anak saya buat begitu sekarang..barangkali sudah saya ikat di tiang lampu! ayah jauh lebih belas dari saya!

Apa lagi kesalahan saya.. saya suka bermain selipar tiga ketika waktu yang sepatutnya pergi ke kelas mengaji! ya! dan kadangkala.. saya pergi main di air terjun, berbasikal dari rumah dengan kawan-kawan dan mengelarkan kumpulan kami Saphire! saya masih ingat ketika itu watak Jem dalan kartun Rock Jem sangatlah saya minati.. dan kononnya nak jadi minah rockers yang adventures dan cool!
seingat saya, seawal darjah 4 saya sudah mencuri2 korek tabung ayam untuk mengambil syiling 60 sen.. untuk apa?? saya gunakan duit itu untuk membayar tambang bas dari rumah ke pekan Melawati! kadang-kadang bersama adik.. dan kadang-kadang sendiri..! Apa saya buat di pekan melawati seorang diri?? saya masuk ke dalam kedai permainan sebelah klinik di beri nama Little Ones untuk melihat dan bermain permainan yang mahal dan semestinya tidak mampu untuk saya miliki.. antaranya patung Barbie, alat-alat memasak dan macam-macam lagi.

Lagi?? apa kesalahan saya? saya ponteng kelas Fardhu Ain untuk bermain dengan kawan-kawan di rumah mereka... dan kadang-kadang saya berjalan kaki ke kedai yang paling dekat, dalam 15 minit dari rumah semata-mata mahu membeli gula-gula tikam dan chewing gum berbentuk rokok! saya pernah di kantoi ustazah ketika leka bermain tikam di kedai.. sejuk kaki dan tangan saya ketika itu! saya berdoa ustazah tidak memberitahu apa-apa pada ayah.. tapi selalunya saya di rotan sebab tidak mengemas rumah atau ikan kesayangan ayah mati terapung dalam aquariumnya... Oh.. barangkali saya terlebih beri makanan atau saya bagi mereka makan serangga berbisa! dan sebenarnya.. banyak sudah ikan ayah menjadi mangsa experimen saya... termasuk saya mengeringkan aquarium itu.. Oh! niat saya baik.. saya ingin membersihkan aquarium ayah, supaya bila ayah balik dari bekerja dia akan memuji saya kerana memberi penempatan selesa pada ikan-ikannya.. tapi saya lupa.. yang ikan tidak boleh terlalu lama menggelepar tanpa oksigen dan air di dalam baldi ketika proses pemindahan!



Apa lagi silap saya sehingga di mamah rotan bulu ayam sakti ayah?? oh, mungkin barangkali kerana saya selalu 'mengemaskan' pakaian ibu di dalam almari.. itulah saat yang paling seronok! mencuba pakaian-pakaian ibu serta make up nya ketika mereka keluar bekerja. Ya, saya ingat lagi saya dan adik sangat seronok mencuba pakaian pengantinnya, rambut palsunya, tas tangan dan segala perhiasan ibu.. dan selalunya kami gagal melipat dan menyimpan kembali ke tempat asal! sudahnya..zasssssssss! bontot kami di libas lagi!

Saya masih ingat lagi beg oren ayah yang padat berisi barang-barang pertukangannya sebab ayah sangat suka bertukang. Bila saja ayah membeli kayu-kayu untuk dibuat pagar pada pokok-pokok hiasannya, sayalah orang ke dua yang akan mencuri-curi kayu untuk dibuat perabot patung kesayangan saya, namanya Cindy! kayu-kayu itu saya gergaji dan pakukan menjadi katil, kerusi dan meja. Dan cat-cat ayah akan menjadi mangsa untuk perabut cilik saya! marahkah ayah melihat kayu-kayunya lesap dan dicanai kecik???
atau barangkali kerana ibu juga mengadu pada ayah yang keropok-keropok dirumah sentiasa habis dan lesap sebelum sempat digoreng? ah... maaf ibu, saya fikirkan ibu letak didalam stor kerana tidak memerlukan lagi! lalu saya goreng dan bungkus kecil-kecil untuk dijual di dalam kelas darjah 5 saya. Harganya tak mahal ibu! saya tidak ambil untung yang berlebih, hanya 20 sen atau 50 sen sahaja. Dan selalunya habis cepat sebab isinya banyak dan sedap! saya gunakan duit itu untuk membeli keropok ringan di bai roti, dan kadang-kadang untuk dibeli stiker, pensil tekan yang cantik-cantik di kedai buku, atau upah kepada kawan yang membetulkan basikal saya supaya lebih laju dan rugged! yalah, ayah hanya membekalkan saya 50 sen sehari untuk belanja sekolah dan pastinya tidak cukup untuk saya membeli 'keinginan' saya melihatkan kawan-kawan yang hidup mewah menunjuk-nunjukan barang-barang mereka kepada saya.

Saya tahu ayah selalu berpesan jika mahu kan alat-alat mainan dan baju-baju yang cantik, saya mesti mendapat no 1 dalam kelas. Dan saya tidak pernah mengecewakan ayah sejak dari darjah 1..tapi peperiksaan akhir tahun terlalu lama, keinginan saya banyak pula! hahhaha.. ayah kata, saya seperti tomboy.. sudahlah nakal dan suka bermain dengan budak lelaki, hatinya juga keras! betul ke ayah?? takkan kerana selalu menyepak dan mengejar budak-budak lelaki, atau ikut bermain bola caping, rounders dan penyapu lidi menjadi gondol kerana membuat layang-layang saya di panggil tomboy?? atau barangkali ayah geram kerana pantang cuti sekolah saya lesap bersama basikal meneroka hutan simpan di belakang surau yang jauhnya berkilo meter dari rumah? entahlah.. saya kurang jelas sebab saya dirotan.. ketika itu saya cuma membentak dan marah kerana keinginan saya untuk meneroka dihalang ayah!


Tapi itu cerita 25 tahun yang dulu. Cerita yang sentiasa segar bermain di kotak lipatan kenangan.. oh, jangan minta saya ceritakan pula kenakalan saya di asrama seawal 13 tahun sehingga di universiti! tak sanggup saya merobek pekung dan 'rahsia' itu..:)

Kini melihatkan anak-anak saya yang hanya bermain di ruang 4 penjuru.. saya rasa kasihan kerana mereka tidak merasa keenakan memasak sayur dalam tin susu dan unggun api, atau galah panjang, konda kondi, selipar tiga, bola caping, teng-teng, berenang di air banjir yang likat dengan lumpur, meredah longkang mencari beudu dan ikan gapi! zaman berubah mengikut peredaran dan rentak.. aksi berbeza menurut tuntutan trend dan masa.. anak-anak hanya meneroka melalui hujung jari.. tekan Google sahaja..terbentang segala info dan games di alam maya.. dan Risa dan Alisya bermain pet games bersama teman dari UK, US dan pelusuk benua hanya menerusi interaksi chatting... itulah zaman mereka.. zaman sekarang..

Kalau anda bertanya kepada saya.. bilakah detik yang saya mahu ulang? pastilah detik saya mencaping belakang tubuh rakan dari jauh yang jauh dengan balingan paling kuat!.. sejujurnya.. detik ayah melihat kertas keputusan UPSR saya.. anak nakal dan keras hati membolot semua A dan mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke asrama penuh.. saya diberitahu ayah, hanya 2 orang murid sahaja ketika itu dari 46 orang murid yang berjaya mendapat 5A! pandai juga saya yea walaupun saya tidak tahu yang peperiksaan itu besar maknanya buat ayah! padanlah malam sebelum peperiksaan ketika saya mencuri-curi melukis kartun di buku latihan sempat rotan itu singgah di tangan!

Terima kasih ayah... melibas saya dengan rotan sakti ayah.. tidak mungkin saya berada di tempat sekarang jika bukan kerana rotan sakti itu!

Ini iklan yang selalu buat saya ralit menonton TV (1983).. dan diam-diam saya akan meratah Susu Dutch Lady di dapur ketika ibu tiada di rumah!

No comments:

Post a Comment