Friday, July 20, 2012

Coliseum café Kuala Lumpur

Akhirnya tercapai hajat nak makan di Coliseum café setelah lama keinginan bersarang di hati. Sebenarnya acap kali melewati deretan Jalan Tunku Abdul Rahman hati sering digamit sebuah perasaan longing, syahdu dan 'sentimental' melihat bangunan-bangunan lama yang didirikan sejak dari 1920 oleh pegawai-pegawai British yang menjajah Tanah Melayu. Terus terang saya ni mudah sangat merasa sentimental melihat artifak dan peninggalan zaman Tok Nenek kita terutama bangunan-bangunan bersejarah dan lama yang masih teguh berdiri walau beratus tahun disapa kemajuan dan pemodenan.

Saya pernah masuk Panggung Coliseum (lot bersebelahan Coliseum café) masa zaman sekolah, tapi saya tak berapa ingat filem apa saya tonton bersama seorang senior di asrama dulu. Ya, kerusi dalam panggung ketika itu mungkin sejak dari zaman filem P Ramlee. Kerusinya warna merah hati dan tidak empuk seperti di panggung wayang sekarang!


Berbalik kepada café Coliseum yang sudah beroperasi lebih dari 91 tahun ini (sejak 1921), ianya bukan sahaja telah diiktiraf sebagai harta warisan negara tetapi bangunan ini juga telah menjadi sebuah tarikan pelancong asing yang singgah menyusuri Jalan Tuanku Abdul Rahman.


Pintu masuk Coliseum Cafe & Hotel

Berdiri megah di tengah-tengah kesibukan Jalan TAR, tersepit diantara bangunan pencakar langit yang lebih moden, disinilah barangkali bermulanya pelbagai agenda dan peristiwa penting untuk Tanah Melayu ketika itu. Dari artikel yang saya baca tentang Coliseum café ini, dahulunya bukan sahaja pegawai-pegawai Inggeris datang kemari menjamu selera dan melepaskan gian lidah keju dan steak nya tetapi juga ramai tokoh politik tempatan dan pegawai/pentadbir tinggi kerajaan datang ke sini. Tentu banyak rencana, agenda dan cerita-cerita politik dibincangkan dan pastinya suasana di café ini meriah ketika menjelang malam melihatkan ruang bar nya agak luas. Agaknya masa zaman itu tentu lagu-lagu jazz dan joget rancak dimainkan dari corong Gramophone  dengan kepulan tebal dari rokok dan cerut! 
Bar nya yang luas.. masih adakah lagi pengunjung menyangkut topi dan jaket di penyangkut tu?

Coliseum café masih mengekalkan hampir keseleruhuan isi perutnya, dari pekerja-pekerja, perabut, perhiasan dinding, lampu, kipas sehingga ke menunya! Saya menjeling pada gelas-gelas yang tersusun rapi diruang bar, gelas-gelas lama yang hampir berkeladak tapi elok dan bersih. Pinggan-pinggan putih dari China yang masih jelas kuat dan tahan walaupun sudah berusia dan pekerja-pekerja dapur yang masih setia bangun jatuh bersama. Kipas lama masih gagah berputar dan lampu dinding klasik masih tegar menerangi ruang.

Mereka juga masih mengekalkan kesemua hidangan yang terdiri dari lebih dari 300 menu itu, terus terang food presentation mereka nampak simple, biasa-biasa aje, tapi rasanya terbaik dan mengekalkan keaslian! Contohnya Grill Salmon yang masih terasa di lidah juicy nya isi ikan tetapi hangat dengan percikan olive oil dan black peppernya, atau sizzling daging yang semerbak dan daging yang masih manis! Salad dan sos yang enak serta bau kopi harum yang menusuk ronga, membangkitkan selera!
Grilled Salmon


Sizzling yang mantap!

Rahsia kesedapan salad ni pada sosnya!

Cukuplah untuk saya katakan, bukan sahaja hidangan yang menjanjikan kepuasan, tetapi juga suasana 'lama' itu betul-betul menjentik perasaan.. berbaur! Teringin saya melihat bagaimana agaknya Kuala Lumpur pada tahun 1920 an, 30an, 40 dan seterusnya sehingga Malaysia mencapai kemerdekaan! Dan bagaimana wanita-wanita zaman itu berfesyen dan bergaya ketika datang menjamu selera di café yang ketika itu mungkin hanya untuk golongan pentadbir dan kelas atasan sahaja. Pastinya wanita-wanita Melayu di zaman atau era itu kelihatan anggun  dengan kebaya ketat dari Lace bermutu tinggi disamping jejaka bersongkok tinggi atau bush jaket! 






2 comments:

  1. Aihh.. Dalam! Maksud lagu tu yer... "jikalau ku tahu janjimu palsu, tidak akan kuturutkan dahulu..."

    ReplyDelete
  2. sorry sis. tak halal la restoran ni. tgk video ni (part 3), ada jual pork chop.
    http://www.youtube.com/watch?v=50c5b24arFg&list=PL00C2F0FE5DB25255
    klu dah x jual pun, i x rasa alatan semua dah samak

    ReplyDelete