Wednesday, April 4, 2012

Tuai padi antara masak

Walaupun sudah hampir 5 hari saya meninggalkan Dayabumi dan secara rasminya duduk saja di rumah, tapi hati ini masih dicengkam rindu dan sayu meninggalkan wajah-wajah yang mewarnai hidup saya. Tak perlulah dicoret lagi kenangan-kenangan itu, takut-takut.. bah pula di sini.. tak hujan tak taufan, banjir melanda pula!

Mujur Facebook  itu wujud untuk memisahkan jurang jarak antara saya dan ex Liner , tapi yelah... sudah mulai terasa sapaan dan komen-komen semakin sedikit. Pasti ramai kawan-kawan sudah mula bersiap sedia memulakan tugas di tempat baru, atau mungkin sibuk menguruskan rumahtangga, urusan perniagaan dan macam-macam lagi.

Hidup mesti diteruskan... semalam itu sejarah..esok adalah kehidupan yang menanti! Melihat kedalam mata setiap insan yang saya jabat ketika hari terakhir di tingkat 19, saya tidak nampak kekecewaan melainkan sebuah hati yang tulus dan sarat dengan keikhlasan dan semangat meneruskan hidup! itu sahaja. 


Benarlah, kita hanya merancang, Allah yang menentukan. 24 Nov 2011.. Saya hanya merancang untuk terus menyudahkan dan memulakan tugas baru seperti 8 tahun yang saya lalui selama ini... tapi Allah menetapkan 30 Mar 2012 hari terakhir saya berkhidmat di Liner. Siapa sangka?

Walau masih segar kenangan sewaktu hari pertama saya di MISC dan tak pernah luput dari kotak ingatan akan pahit manis di lantai 19, saya harus akur yang semuanya telah berakhir. Tidak mungkin dapat saya lupa yang saya nyaris dibuang kerana dapat rating 4 setelah lebih 6 tahun bekerja! atau kata-kata belakang tentang diri saya yang cupik dan hodoh, atau mungkin usikan nakal dan gurauan teman-teman yang menghiburkan setelah penat bekerja. Tidak, saya tidak marah dan kesal itu terjadi. Malah, berterima kasih di atas setiap kejadian yang mematangkan dan menguatkan semangat menempuh perjalanan yang mungkin jauh..atau mungkin hanya tinggal beberapa langkah. 

Untuk rakan-rakan yang sudah dan bakal memulakan tugas di tempat baru, saya ucapkan tahniah dan selamat menempuh dugaan dan cabaran yang mendatang. Dan mereka yang sekapal dengan saya.. masih mencari dan mengharapkan yang terbaik mendatangi kita, bersabarlah dan percayalah rezeki itu ada cuma belum tiba masanya. Jangan mencurigai percaturan yang telah ditetapkan Allah kepada hambaNya. Benar, kita mungkin sedang berada dibawah, tapi kita pernah jua berada di atas. Akan tiba saatnya kita kembali disitu... kerana kehidupan adalah seperti sebuah roda.

Saya mungkin tercicir memohon maaf pada kawan-kawan ketika hari terakhir, maklumlah, ketika itulah saya sibuk stamping, return laptop dan macam-macam hal lagi. Lantas, di lembaran ini, saya memohon kemaafan pada teman-teman andai terkasar bahasa ketika berbicara dan bergurau senda. Jika boleh saya zahirkan kekesalan dengan perlakuan saya yang menyakitkan anda, pasti saya lakukan. Tapi manusia yang dikaitkan dengan sifat pelupa seperti saya.. apa yang saya mampu lakukan hanyalah memohon maaf dengan seikhlasnya.

Sahabat... tuai padi antara masak..esok jangan layu-layuan.. intai kami antara nampak, esok jangan rindu-rinduan... 

Moga Allah memudahkan urusan kalian, dipanjangkan umur untuk kita bertemu lagi di masa yang Dia kehendaki.









http://youtu.be/8piQYdb0gJ4

3 comments: