Monday, July 16, 2012

Korea dan kek

Inilah ketaksuban saya yang terbaru... menonton drama Korea dan masak kek!

Kepelikan dua ketaksub'an ini datang setelah saya bergelar surirumah! Dengar dan kelihatan seperti orang yang membosankan, tetapi inilah perkara yang mampu mengisi kekosongan dan kebingungan selama tidak bekerja! Manakan tidak, setelah lebih 12 tahun (itu belum dikira kerja-kerja part time semasa lepas sekolah dan cuti semester di Universiti) bekerja dan berkejar kesana kemari menguruskan keluarga, tiba-tiba duduk rumah seharian  saya seperti digaru keresahan kerana tidak berlari seperti dahulu! sudahnya... setiap pelusuk rumah dan resepi digeledah dan dicuba! 

Sebenarnya, saya bukanlah suka menonton TV, apatah lagi peminat tegar rancangan bersiri. Menonton drama bersiri ini memulakan komitmen dan displin..iaitu memastikan kehadiran tepat pada masa supaya tidak terlepas adegan menarik.. dan paling lucu, menghabiskan sekurang-kurangnya setengah jam menyaksikan drama yang membuatkan emosi mudah terganggu kerana geramkan jalan ceritanya yang berbolak balik! tapi inilah sumpahan yang terjadi pada saya ketika mula bergelar surirumah sepenuh jiwa dan masa! drama pertama yang menyeret saya menghabiskan masa ialah drama Korea Miss Ahjumma di SBS HD 393 di Astro! Kemudian diikuti dengan Loving You Thousand Time, Simple Heart, Ghost, The Chaser, Salamender Guru and the Shadow Gang, Bravo My Life dan kadang-kadang boleh terleka melihat K Pop yang terkinja-kinja dengan fesyen rambut leper dan terlebih gel/tencho itu!! SubhanaAllah.... tengoklah! betapa banyaknya saya disuapkan dengan hiburan dan cerita Korea!


Kenapa saya menjadi obses ye dengan cerita Korea? adakah terpegun dengan kecomelan dan kejelitaan pelakon-pelakon yang berkulit mulus? Tahukan anda wanita Korea adalah di antara wanita tercantik di dunia seperti yang ditulis dalam Pancaindera 3 minggu lepas! Tidak.. oh ya, itu di antara faktor saya tidak berkedip mata melihat mereka di kaca TV, tetapi bagi saya faktor utama yang membuat saya terleka menonton bait-bait cerita dan sirinya yang berjela-jela adalah kerana susunan dan jalan ceritanya yang mekar dan menarik! Contohnya Simple Heart.. cerita seorang seorang isteri yang menyimpan seribu cerita dan penderitaan, lebih menjengkelkan bila si anak tidak menghormati ibunya kerana kisah silamnya.. walhal si ibu tidak pernah sekalipun mengabaikan keluarganya. 

Begitu juga Miss Ahjumma, ehem, sebenarnya saya lebih mengkagumi watak Tuan Yoon yang seperti robot tetapi 'macho'. Dan watak ibu Ahjumma yang kuat berleter dan laser orangnya. Memang seharusnya itulah watak seorang Ibu, menjadi pendorong dan pelindung kepada anaknya, ibu ayam manalah tidak bertindak ganas jika anak-anaknya diganggu musang! Teringat antara dialog si Ibu bila bekas suami Ahjumma (Kueng Se) mengatakan bahawa dia dan Ahjuma rapat seperti gula-gula getah (sebenarnya Kueng Se ingin menawan kembali jandanya (Ahjumma) setelah berpisah. Tetapi si ibu Ahjumma menemplak dengan mengatakan dia tidak menerima gula-gula getah yang sudah dikunyah! dan seharusnya gula-gula getah itu haru dibuang sahaja! kedengaran lucu tetapi dalam maksudnya!

Bukan saya tidak mahu menonton drama melayu, tetapi saya kurang penyabar orangnya lebih-lebih lagi bila disuapkan dengan jalan cerita yang membosankan dan boleh dihidu kesudahnya! Contohnya orang jahat harus mati dalam kemalangan atau menghidap penyakit kronik yang seharusnya mati saja untuk memudahkan cerita itu berakhir! atau cinta yang meleleh-leleh dengan bahasa yang di cut and paste dari novel yang meremang bulu roma mendengarnya.. Ahem! wujudkah lagi lelaki bersifat romantik dan berlidah taman bunga di zaman ini???!

Oh, maafkan saya jika terlebih-lebih menilai drama melayu kini. Itu penilaian peribadi saya. Tidak saya nafikan banyak drama dan filem melayu yang bagus dan berkualiti contohnya Anakku Sazali, Ibu Mertuaku, Madu 3.. tapi kenapa tiada lagi cerita sebagus itu untuk zaman TV kaler sekarang??? Hmm..

Obses saya yang ketara selepas menjawat jawatan Surirumah selepas drama Korea adalah memasak kek dan cookies. Hampir selang tiga hari saya akan memasak kek dengan mencuba pelbagai resepi baru. Bermula dari kek coklat, baldu merah (Red Velvet) dan pelbagai Cheese cake telah saya bakar! Anak-anak saya sudah ketagih dengan hidangan kek dan cookies mama dari biskut di Giant! Oh! saya juga sudah tahu rahsia untuk mendapatkan kek yang lembut seperti Chiffon, iaitu menggunakan Canola atau Omega 3 Oil dari menggunakan butter! rasanya juga tidak muak dan meloyakan! Juga mencipta buttermilk dan sour cream sendiri kerana dua bahan ini susah didapati di pasaraya!

Dimanakah kepuasan menghabiskan masa di dapur? bagi saya...mungkin  ketika melihat anak-anak menikmati hidangan jika dibandingkan dengan muka saya merah kelebaman kerana meninjau-ninjau kek didalam oven! :)
Entah apalah yang didalam fikiran masa deko kek ini!

Kek Red Velvet untuk Hari Lahir Alisya

Choc Brownies with Blueberry Cheese

Choc Moist

Rainbow Cake..cream cheesenya terlebih pukul..melting sedikit!

Blueberry Cheesecake

Chocolate Cookies kegemaran Arissa

Red Velvet resepi ini menggunakan Omega Oil dan sedikit campuran kopi!


Begitulah saya melalui hari-hari bergelar surirumah  dalam 3 bulan ini. Selain tidak perlu bergegas merempuh jam seawal jam 7 pagi untuk kepejabat, dapat juga saya mengajar anak-anak mengaji setiap malam dengan berbekalkan rotan di tangan dan juga melihat pembesaran dan keletah masing-masing yang menuntut kesabaran! Saya juga tidak pasti sampai bila saya diberikan Allah usia yang panjang untuk melihat mereka membesar, apa yang pasti, setiap saat yang terluang akan saya gunakan supaya tidaklah suatu hari nanti saya berdetik di hati.."alangkah bagusnya jika dulu saya..."

Wahai ibu-ibu dan isteri-isteri yang bekerja mahupun tidak.. percayalah, pengorbanan anda sangat besar dan tidak ternilai harganya! 

Selamat Berpuasa..Semoga Ramadhan kali lebih bermakna kepada kita semua.




No comments:

Post a Comment