Friday, July 20, 2012

Marhaban Ya Ramadhan

Ramadhan tiba lagi.. bersyukurnya saya masih diberikan umur untuk menyambutnya lagi!

Rindu dan tertunggu-tunggu kedatangannya.. telah terlalu banyak kesedihan dan dugaan mendatangi hidup, semakin saya menyayangi Allah yang memilih saya untuk diuji kesabaran dan keimanan. Biarlah, biarlah terus diasak dengan pelbagai dugaan dan ujian, saya yakin Allah sudah menyediakan yang terbaik di hadapan. Benar, jika difikir kembali betapa satu demi satu kekecewaan yang saya lalui ini payah untuk saya bersangka baik pada ganjaran yang Allah janjikan untuk orang yang sabar dan redha dengan ujianNya, malah saya pernah berbisik di hati tentang betapa tidak adilNya Allah pada saya dibanding manusia lain. Astaghfirullah, moga Allah memberi keampunan pada saya pada setiap sujud dan airmata keinsafan.

Tadi saya singgah di Giant, wah, ramainya orang! masing-masing sibuk membeli bahan masakan, barangkali untuk sajian sahur dan berbuka kerana esok hari minggu! Tentu masing-masing sudah mempunyai plan masakan dan menu yang lazat dan berkhasiat untuk sahur dan berbuka nanti! 

Teringat saya ketika masa bekerja dulu, bila tiba bulan puasa, saya akan turun ke Jalan Lekir bersama sahabat-sahabat mencari bilis dan kacang untuk dibuat sambal bilis. Menu wajib bersahur! Bukan apa, saya sukakan bilisnya yang masih segar dan murah. Lepas pejabat pula saya akan singgah ke kedai untuk membeli ikan keli untuk dibuat Lemak Cili Api. Adakah tahun ini begitu juga? Rindu pula saya pada sahabat-sahabat di pejabat sebab masa inilah kami akan sebok memesan kuih Tunjuk atau Kuih Raya!
Apalah khabar kalian semua? 

Malam ini malam pertama bertarawikh, surau pun kembali berseri bila khemah mula naik untuk menampung kehadiran Jemaah untuk berbuka dan moreh setelah selesai melaksanakan Ibadah dan Solat Terawikh. Teringat di asrama dulu, pada bulan Ramadhan kami kena 'chop' tempat makan di dewan makan kerana pakcik dan makcik dewan akan menghidangkan juadah berbuka atas meja..seronoknya..tak payah beratur panjang untuk menunggu giliran menyenduk lauk! Dan paling seronok ialah pada hari Jumaat kerana dapat makan Aiskrim dan sate! Masa tu, nikmatnya Tuhan saja yang tahu! Selesai berbuka bersama, berbondong-bondong kami ke dewan besar sekolah untuk mengerjakan Tarawikh beramai-ramai. Selepas itu kami akan bertadarus di dalam kumpulan kecil, sekitar 4-5 orang untuk menghabiskan beberapa Juzuk Al-Quran. Akhirnya dapatlah kami semua menyempurnakan 30 juzuk pada bulan Allah ini. Manis dan indahnya waktu-waktu itu!

Itu semua adalah kenangan terindah semalam. Sekarang masanya untuk saya pula melatih anak-anak dara saya berpuasa dan melakukan ibadah sebanyak yang mungkin. Meraup semua pahala dan peluang yang ada ketika masih sempat dan bertenaga. 

Pada keluarga, sahabat-sahabat atau sesiapa yang mengenali diri saya, ampunkan dan maafkanlah segala kekhilafan dan kesalahan saya. Saya adalah manusia yang pelupa, dalam senda gurau dan usik mengusik saya pantas melukakan hati kalian. Dalam gerak geri yang saya kira cukup saya pelihara akhirnya mungkin terlepas juga menyakiti anda. Maafkan saya untuk segala-galanya.
Moga Ramadhan kali ini lebih bererti pada kita semua.

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan!









1 comment:

  1. The biggest problem with roulette - DrMCD
    Roulette has 안성 출장안마 become very 하남 출장마사지 popular and there 시흥 출장샵 are many 안동 출장샵 games that people can enjoy that Roulette is a very easy game 경주 출장마사지 to play. This online game

    ReplyDelete