Monday, September 17, 2012

Siapa yang lebih mulia?

Saya sebenarnya tidak suka membincangkan perkara ini terlalu terbuka dengan pembaca, tetapi saya sering tertanya-tanya, apakah yang membuatkan kita merasa 'lebih' dari manusia sekeliling?

Teringat saya ketika menjadi salesgirl di sebuah kedai cermin mata di Pertama Kompleks sekitar 1993, masa itu sementara menunggu keputusan SPM, saya mencuba-cuba untuk mencari 'pocket money'. Entah dari mana datangnya keberanian saya mengetuk peluang di sebuah kedai cermin mata di Pertama Kompleks Kuala Lumpur, saya lihat kedai itu masih gagah berdiri lagi sehingga sekarang… sudah lebih 19 tahun kiranya!

Terlalu banyak kenangan yang saya lalui.. walaupun hanya seketika. Bermula tugasan mencuci cawan tokey, lap cermin, masak air, tolong belikan nasi lemak Sotong yang memang terkenal di food court Pertama Kompleks itu sehinggalah belajar untuk menyusun dan mengenal bingkai serta lens!
Kawan-kawan yang turut sama bekerja sebagai Sales girl di kedai sebelah menyebelah juga berbagai ragam dan sifat! ada yang bangga bercerita tentang aktiviti malam mereka antaranya merempet, ada yang sibuk mencari kerja lain.. hmm.. memang tak tercapai dek akal cerita mereka! Maklumlah, saya ketika itu terlalu hingusan, baru belajar mengenal dunia sebenar setelah lima tahun tinggal di asrama. Dan tentulah saya tidak terfikir apa itu mat motor, cikaro, kedai itu ini dan macam-macam lagi!
Tapi apa yang saya mahu cerita hari ini bukanlah tentang kerja saya ketika itu kisah-kisah balik tabir Kuala Lumpur tetapi tentang sifat segelintir manusia yang mudah lupa tentang siapa kita di bumi Allah ini.

Maaf, tetapi inilah kenyataan, ratanya orang kitalah antara pelanggan yang mempunyai karenah yang kadang-kadang buat hati saya merasa sedikit kecewa! Mudah memandang rendah dan kecil hanya kerana mereka berduit, atau lebih berpangkat.

Ada ketika mereka melayan si penjual ini seperti mereka yang tidak berilmu atau berduit. Sentiasalah beringat, yang membezakan manusia di mata Allah hanyalah Iman dan amalannya. Bukan harta, pangkat atau rupa.

Saya masih ingat bagaimana pelanggan-pelanggan terutamanya wanita meninggikan suara mengarah itu ini kepada pembantu jualan seolah-olah mereka tidak ada perasaan untuk dikasihi. Kadang-kadang, ada antara pelanggan yang sedikit pun tidak mahu memalingkan muka kepada penjual seolah-olah mereka ini terlalu kecil di mata mereka. Lebih pedih jika mereka menyuruh hanya Supervisor atau Pengurus sahaja melayan kehendak dan kemahuan mereka. Ada yang lebih tergamak, siap memberitahu kenapa kerja sebagai ini dan itu kerana ianya tidak class?? Wahai insan yang meminjam bumi Allah, selagi rezeki itu Halal dan anda amanah, tidak kira apa pun kelas dan levelnya, ianya tetap mulia dibandingkan gaji berpuluh angka tapi hati penuh tamak dan hasad.

Ketika saya bekerja di restoran Makanan Segera/Fast Food juga begitu, ada mereka yang menjerit-jerit dan membentak kerana lambat dilayan.Tahukah anda pekerja-pekerja ini telah dilatih dan sangat komited melaksanakan kerja mereka? dan tahukah anda penat itu wujud pada semua manusia? Kerana itu selalu saya berpesan pada anak-anak dan diri sendiri terutamanya, bersabarlah dalam melakukan setiap urusan terutamanya sesama manusia. Basahkan lidah dengan ucapan terima kasih pada penamat setiap urusan walau apa jua kesudahannya. Barangkali kerana ucapan inilah menggembirakan mereka? Ingatlah yang Hablumminannas atau hubungan sesama manusia itu juga penting dalam menuju ke Jannah.


Sehingga kini, saya masih merasai pengalaman yang sama. Ingatlah selalu, walau apa jua keadaan dan emosi yang ada lalui ketika itu, sentiasalah menimbangkan risiko dan impaknya kepada manusia lain.
Mungkin orang yang anda tepis, halau, jerit dan elehkan itu adalah insan yang lebih tinggi darjatnya di sisi Allah, atau mungkin anda fikir dia hanyalah budak miskin dan tidak berpelajaran tetapi sebenarnya ilmunya lebih luas dan pengalamannya lebih dalam, atau barangkali anda fikir dia tidak punya apa-apa tetapi sebenarnya dia punya segalanya yang anda tidak ada! 

Hidup ini seperti roda,hari ini kita berada di atas, tapi kelak di bawah jua, bersediakah kita?




No comments:

Post a Comment