Tuesday, January 15, 2013

Kehilangan Nurma

Harum Subur di hati  http://youtu.be/IBHxDG3mj6k
Aku kenal Nurma, orangnya ramah dan manis, mungkin juga kerana kelincahannya dan sifat rendah diri serta mudah bergaul itu dia punyai ramai kenalan. Makcik-makcik kat Hutchison Paging tempat kami part time ni pun lebih senang dengan Nurma berbandingku. Nurma pandai berbahasa, dia tahu memancing tajuk untuk berborak. Tak hairanlah kawan-kawannya ada Melayu, India, China, tua, muda… kanak-kanak pun sayang padanya. Ketika cuti semester tahun 3 pengajian, aku dan Nurma curi-curi kerja sepenuh masa di sebuah pusat pager yang dah tak wujud lagi sekarang di Kuala Lumpur, kami buat tiga shift sebulan.. pagi, tengahari dan malam, gajinya cukuplah untuk kami isi perut, perut kereta dan jajan kalau sekali-sekala ingin tengok wayang atau beli jeans murah. Yang penting, kami sepakat tidak akan minta duit FAMA(father and mama lagi) cukuplah kami membebankan mereka dengan debaran samada kami lulus atau tidak masuk Universiti, tapi bukan debaran wang tidak cukup kerana kami mampu mencari pendapatan sendiri! Mungkin kerana kami komited dan menyenangkan, boss tidak banyak songeh bila kami minta tukar jadi permanent untuk shift malam bila kami masuk final semester.

Masa final semester aku dan Nurma dapat shift malam sahaja sebab waktu siang kami ada kelas, lagi pulak tahun akhir, takut nak ponteng, carrying marks dah banyak pada quiz dan attendance on top paper works yang kena banyak geledah library! Nurma ada pakwe dah sejak tahun 2 lagi kami di main campus. Mereka kenal ketika sama-sama kerja part time di MPH. Asalnya, Nurmah selalu kena kutuk dengan Mamat tu (pakweanya) yang konon-konon rock tu, Nurma pun rock.. elokla tu! batu bertemu batu! kalau tak belaga pecah… jadi air…lama-lama gaduh akhirnya jadi couple! Pakwe Nurma tu pun satu Uni dengan kami, cuma lain course. Orangnya tinggi, tapi pendiam. Sangatlah kreatif..lukisannya memukau.. bila Nurma jadi makwe dia, Nurma sedikit sebanyak bertukar kepada seorang gadis yang lebih luas pengetahuan dalam muzik, komik, cartoon character. Seingatku, Nurma sangat obses dengan watak Kabuki  by David Mack… dia selalu berangan menjadi seperti Kabuki itu..dan mengabadikan watak itu pada langsir biliknya, lukisan t shirt dan macam-macam lagi. Aku tidak pasti apa yang hebat dan siapakah watak hebat bernama Kabuki itu.. hanya Nurma yang tahu! Oh! dalam diam Nurma mula bejinak dalam business kecil-kecilan.. nak tau business apa? business t'shirt yang dilukis sendiri. Maka, selain dari sibuk jadi operator, Nurma semakin sebuk dengan business t'shirtnya,   dan macam-macam lagi kerja sampingan yang dilakukannya demi mendapat wang saku untuk persediaan memasuki alam pekerjaan.

Nurma ni walaupun nampak luaran kasar, tapi orangnya setia dan penyabar. Contohnya walaupun pakwe dia jarang ajak dating sebab sengkek, takde handphone, takde barang-barang branded… tapi dia boleh menerima kekurangan dan kelebihan itu. Selalu jugak aku dengar mereka bertekak terutama pakweanya.. sebab cemburu Nurma panjat gunung, cemburu Nurma mudik sungai, cemburu Nurma keluar malam dengan kawan-kawan tapi kesudahaannya seperti angin petang yang berhembus menanti senja je.. lalu.. dan pergi… bergaduh… loving-loving balik…itulah Nurma yang ku kenal… sempoi.. berlebih kurang dan tidak suka memperbesarkan perkara kecik.. 

Satu lagi.. Nurma ni aku boleh kategorikan genius jugak.. akulah macai dan akulah PA nya.. yang mengambil nota untuknya, mengingatkan tentang quiz dan exam bila, bawakan note padnya.. sebab?? Sebab Nurma selalu terlepas kelas dek kerana terlebih tidur. Aku paham Nurma terlajak sebab penat, setiap hari tepat jam 7 malam Nurma sudah mula memecut keretanya menuju ke Bukit Bintang untuk memulakan shiftnya dan hanya akan pulang seawal jam 7 pagi keesokannya. Kadang-kadang bila KL jem, Nurma sangkut di atas jalan lebih dari 40 minit, biasanya dia tidak tidur tetapi terus ke kelas pagi, tapi bila dia tertidur, itulah jadinya dia terbabas kelas pagi! Bagi aku, Nurma genius sebab dia boleh score setiap quiz walaupun dia jarang muncul kat kelas jauh sekali ulangkaji..(dan akulah kena tenyeh attendance untuk dia)… Nurma pandai ambil hati.. nanti dipeluk-peluknya aku kalau dia tahu aku naik angin kerana dia tidak muncul di kelas… sudahnya aku terlupa nak membebel atau menegur sifat suka tuang kelas sebab dia terlebih dahulu berjaya membela dan mengadili kesalahannya sendiri!
Nurma tahu apa yang dia mahu… dia mahu habis cepat buat degree ni sebab dia kata tak mahu grad sama dengan seangkatan batchnya… lalu.. dari course yang sepatutnya 4 tahun, Nurma buat 3 tahun setengah sahaja dan grad dengan kepujian! Sudahnya, Nurma grad seiring dengan pakweanya yang senior setahun darinya! kan cerdik tu! 

Nurma terus melangkah riang bila ditawarkan kerja disebuah company Mat Salleh lepas Grad… kemudia tak sampai setahun Nurma naik lagi masuk company besar dan terkenal, sudahnya baru 3 tahun gaji Nurma jauh berlipat ganda dariku! Oh..tapi dalam pada itu… sedih juga dapat tahu, hubungan Nurma dengan pakweanya tidak berakhir ke jinjang pelamin. Kata Nurma, jodoh tidak tertulis di Luh Mahfuz untuk mereka. Bila ku tanya sebabnya.. dia mengelak untuk mengimbas kisah lama itu, pelik! Aku tahu… tentu sesuatu yang hebat menguji mereka sehingga masing-masing tidak mampu lagi bertahan dan mengambil keputusan berpisah! Nurma yang kukenal.. serapat mana pun kami, Nurma tidak pernah memburukan orang atau menceritakan rahsia dirinya. Walau sedalam mana ku kenal Nurma, masih ada sekeping kisah dan dirinya yang terus menjadi tanda tanya dan rahsia.

Dari jauh, ku dengar perjalanan Nurma semakin jauh dan akhirnya hilang dari pandangan dan pendengaran. Ya, itulah Nurma yang kukenal.. she dreams innocently.. yet purse like fool! bulldoze saja kalau betul-betul nak! very determine dan precise. Ceria, menarik, cerdik, rajin, komited, dalam ganas dan gangster nya.. dia sungguh berbudi dan berbahasa.. Nurma..Nurma… terbanglah mengejar cita-citamu…yang ingin travel satu dunia sebagai backpacker.. yang ingin mempunyai studio lukisan sendiri, yang ingin punyai rumah idaman yang comel tapi segalanya berwarna putih, yang ingin menghabiskan masa lapang di balkoni menghadap laut biru..yang ingin menggarap novel dan menghasilkan karya seninya… Nurma yang hebat!


Setelah sekian lama Nurma menghilang akhirnya ku temui dia. Nurma yang nyaris tidak kukenali lagi.. Nurma yang tidak lagi memiliki mata yang bercahaya, senyumannya tidak lagi mendebarkan, kata-katanya yang meluncur keluar tidak berirama girang dan jiwanya tidak bersama jasad begitu juga impiannya. Nurma sempat bergurau dalam derai tawa yang tawar…"Aku dah mati tapi nesannya belum ditempah lagi… ".."Bersabarlah Nurma"kataku. "Cukup… bunga-bunga yang bertaburan atas pusara itu adalah seperti kata-kata sabar dari setiap manusia yang melewati jasad ini… tapi bunga-bunga itu layu..begitulah kata-kata keramat itu buatku…tidak merubah dan menghidupkan ku kembali"… 
dan ketika dalam perjalanan pulang dari bertemu Nurma.. aku tidak berhenti dari memikirkan  dan cuba mengingatkan kembali Nurma… Nurma yang hilangkah atau sebenarnya Nurma sudah tidak lagi wujud???





No comments:

Post a Comment