Friday, March 15, 2013

Kembara dalam kenangan

Dah lama saya tidak bercerita.. sebenarnya banyak yang nak dikongsi bersama, tapi waktu membataskan saya untuk menggarap segalanya dalam blog ini.

Setiap petang, dalam perjalanan pulang dari pejabat perkara pertama yang saya akan buat adalah mendengar rancangan kesukaan saya..apa dia? 'Aku, Dia dan Lagu' di Radio Klasik Nasional.

Mendengar kenangan demi kenangan kiriman dari peminat setia rancangan ini kadang-kadang buat bergenang airmata, ada masanya saya tersenyum sendirian walaupun kaki naik cramp menekan minyak dalam mengharungi kesesakan Lorong Keramat ini jika cerita lucu pula menggeletek jiwa. Bertambah sarat perasaan ini bila setiap kenangan itu diselitkan lagu-lagu klasik yang menyentuh perasaan.. terbuai seketika dalam pengalaman dan kenangan mereka.
Benarlah kata pujangga.. kenangan dan pengalaman mendewasakan kita. Hidup tanpa kenangan adalah seperti jasad tanpa rohnya..

Kenangan ketika hari pertama saya di Dayabumi 8 tahun dulu adalah antara perkara yang meniupkan semangat saya ketika hari pertama saya melangkah masuk ke tempat baru sebulan yang lalu. Kenangan bersama teman-teman dan pengalaman yang lalu adalah pedoman untuk saya mengatur setiap langkah di halaman baru. Kalaulah tiada pengalaman dan kenangan, tentulah kita akan mudah melakukan kesilapan untuk kali ke dua..tiga..empat dan seterusnya. Mahukah kita mengulangi setiap kesalahan dan dibelengu dengan kekesalan yang sama?

Semenjak saya sibuk mengeluarkan kembali koleksi gambar-gambar anak-anak untuk dimuatkan dalam Wandus maker (sebuah aplikasi perisian untuk membuat album (www.wandus.com), saya diheret kembali ke saat-saat indah yang tidak terbayar dengan wang ringgit. Mengenang kembali saat pertama kali saya meriba Isqandar ketika dia lahir ke dunia, atau ketika melihat kembali gambar Arissa di tadika ketika hari pertamanya mahupun gambar Alisya anak sulong saya yang ketika itu baru belajar bertatih mengingatkan saya tentang betapa telah jauh saya mengembara daerah usia yang semakin rapuh ini. Anak-anak saya semakin dewasa dan semakin memberikan saya lebih tugasan dalam membentuk dan menjadikan mereka insan yang boleh berbakti kepada Agama, keluarga, bangsa dan negara. Sempatkah saya melihat mereka dewasa dan mengatur kehidupan mereka? adakah mereka akan mengingati pesanan-pesanan saya lagi? Masih jauhkah lagi pengembaraan saya atau semakin saya mengakhiri pegembaraan ini? Adakah saya sudah menemui apa yang dicari? Adakah anda juga sudah menemui apa yang anda cari dan ingin miliki?


Kembara 
 Jika suatu hari nanti anak-anak saya terbaca blog ibunya ini, saya hanya mahu mereka tahu satu perkara, hidup ini adalah seperti sebuah pengembaraan. Rintangan dan cabaran itu akan datang melengahkan perjalanan. Pastikan bekalan ilmu, iman dan taqwa mencukupi, atau setidak-tidaknya kutip dan kendonglah ia ketika melewati daerah kembaraan kalian. Lakukan apa sahaja yang kalian ingin tapi haruslah dalam keredhaan Allah swt dan ibubapa. 

Oh, sengaja saya abadikan semua gambar-gambar saat indah itu dalam bentuk album kerana ianya akan sentiasa kemas terhidang jika terdetik untuk mereka mengimbau kembali laman kenangan bersama-sama, dan akan sentiasa mengingatkan mereka tentang bertuahnya mereka dipilih Allah untuk mempunyai ibubapa yang sangat menyayangi mereka. Pada mama, gelak ketawa dan tangisan kalian adalah irama terindah dalam hidup dan jika mereka besar dan berkeluarga kelak, saya mahu mereka mengerti yang mereka tetap anak kecil yang suci di mata dan di hati ibunya.








No comments:

Post a Comment